Setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma bila dan di mana malaikat Izrail
akan mengambil nyawa kita masih menjadi rahsia yang tidak sesiapa pun
ketahui kecuali ALLAH SWT. Namun, kita sering mendengar tentang
sakaratulmaut dan husnul khatimah apabila kematian dibahaskan.
Apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut?
Jawapan: Sebelum berangkat ke alam barzakh untuk menuju akhirat yang
kekal abadi, kita akan mengalami situasi yang disebut sakaratulmaut.
Secara harfiah, kalimah ini bermaksud ‘mabuk menghadapi maut’ yang
sangat dahsyat. Saat kematian ini berkait rapat dengan proses perpisahan
roh dari jasad kita yang membawa kepada kematian. Syeikh Abdul Latif
Musytahary (1996), menjelaskan bahawa kematian adalah bercerainya roh
dari tubuh seseorang insan.
ALLAH SWT menerangkan lagi betapa ngerinya sakaratulmaut bagi mereka
yang bergelumang dengan maksiat dan kezaliman dalam firman-NYA:
“...alangkah dahsyatnya jika engkau melihat waktu orang zalim berada
dalam tekanan sakaratulmaut, sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan
tangan (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan
menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu
sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina
(kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap
ALLAH dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur
akan ayat-ayat keterangan-NYA.” (Surah al-An’am : 93)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nyawa orang
mukmin itu keluar sebagai keringat manakala nyawa orang kafir pula
dicabut seperti nyawa keldai. Orang mukmin yang melakukan dosa, lalu
dibalas dengan dahsyat sewaktu kematiannya untuk menghapuskan dosa
daripadanya. Orang kafir yang melakukan kebaikan akan dimudahkan baginya
pada saat menghadapi maut untuk membalasnya.” (Riwayat Abu Na’im)
Jika orang itu Muslim yang soleh, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya jenazah itu didatangi oleh malaikat. Sekiranya jenazah itu
orang yang soleh, maka mereka berkata, “Silakan keluar, wahai nyawa
yang baik dan harum yang berasal dari tubuh yang baik ini. Keluarlah
dengan keceriaan dan kepujian, bergembiralah dengan khabar gembira,
kenikmatan dan TUHAN yang tidak murka.”
Namun, berbeza pula bagi seseorang yang jahat. Sabda baginda yang
bermaksud: “Apabila seseorang yang jahat ingin dicabut nyawanya, maka
dikatakan: “Keluarlah wahai jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang
buruk pula. Keluarlah dengan kehinaan dan berilah peringatan dengan air
yang mendidih serta nanah yang serupa dengannya.”
Sentiasa dikatakan sedemikian hingga keluar roh tersebut keluar.
Dibukakan baginya pintu langit lalu dikatakan, “Siapakah ini?” Dikatakan
inilah polan.” Lalu diucapkan, “Tidak diterima jiwa yang buruk berasal
dari tubuh yang buruk. Kembalilah dengan kehinaan kerana pintu langit
tidak akan dibuka bagi mu. Kemudian dihantar dari langit sampai ke dalam
kubur.” (Riwayat Ahmad)
Oleh itu, Rasul junjungan mulia ketika berhadapan sakaratulmaut masih
sempat berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, tolonglah Aku daripada
sakaratulmaut ini.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Adab ziarahi orang sakit
Amalan ziarah-menziarahi dianjurkan bukan pada masa sakit sahaja tetapi
merangkumi semua keadaan tanpa mengira peringkat umur. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak setiap Muslim kepada Muslim
yang lain ada lima.
Pertama, menjawab salam. Kedua, mengunjungi orang sakit. Ketiga,
menghantar jenazah. Keempat, memenuhi undangan dan kelima, membaca doa
kepada mereka yang bersin.” (Riwayat Bukhari) Berdasarkan Muhammad Abdul
Hamid (2004), beliau menerangkan antara adab ketika melawat orang sakit
seperti berikut:
• Mereka yang sakit menjangkau tiga hari. Ini sejajar dengan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW tidak mengunjungi
seseorang yang sakit melainkan ia telah berlalu tiga hari.” (Riwayat
Ibnu Majah)
• Tidak duduk terlalu lama kecuali diminta oleh pesakit.
• Bersikap lemah lembut dan menunjukkan kasih sayang terhadap pesakit.
• Berdoa untuk kesembuhan, kesempurnaan dan kekuatan pesakit.
• Jangan makan atau minum di rumah pesakit kerana dibimbangkan akan membebankan keluarga terbabit.
• Sentiasa memberikan harapan baik kepada pesakit.
Adab kendalikan orang nazak
Syeikh Abdul Latif al-Musytahary (1996) menyarankan adab bagi mengendalikan seseorang yang sedang sakaratulmaut:
• Disunatkan menghadapkan pesakit ke arah kiblat dan ini merupakan
amalan yang mulia agar pemergiannya juga dalam keadaan mulia.
• Disunatkan membaca dua kalimah syahadah kepada pesakit agar kekal
dengan kalimah tersebut sehingga hembusan nafas terakhir. Amalan ini
seiring dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang
mengakhiri kata-katanya dengan “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan yang
disembah melainkan ALLAH), maka ia akan masuk syurga.” (Riwayat Muslim)
• Disunatkan menghadirkan orang yang soleh agar dapat diharapkan
keberkatan golongan tersebut di tempat seseorang yang menghadapi
kematian. Amalan sedemikian dilakukan Rasulullah SAW ketika hayat
baginda.
• Disunatkan membaca Surah Yasin di sisi pesakit yang berhadapan
dengan sakatulmaut. Sebenarnya ini dapat meringankan tanggungan yang
dihadapinya. Amalan yang sejajar dengan sabda Rasulullah SAW daripada
Miqdad yang bermaksud: “Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang
membacanya dengan mengharapkan rahmat ALLAH dan akhirat, maka akan
diampuni dosanya. Oleh itu, bacakanlah ia kepada mayat kamu (mereka yang
dalam keadaan sakaratulmaut.” (Riwayat Muslim)
Mendambakan husnul khatimah
Meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah atau kesudahan hidup yang
baik menjadi impian setiap orang yang beriman. Rasulullah SAW memberi
gambaran awal golongan yang mendapat husnul khatimah melalui sabda
baginda yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara pada mayat ketika
waktu kematiannya.
Keluar peluh di dahinya, berlinang air matanya, melebar kedua
hidungnya, maka itu rahmat daripada ALLAH yang diturunkan kepadanya.
Jika ia berdengkur seperti unta yang tercekik, pucat warnanya, berbuih
mulutnya, maka itu adalah seksaan daripada ALLAH yang telah
menimpanya.” (Riwayat at-Tirmizi dan Hakim)
Hasil ‘pelaburan’ amalan sepanjang hayat kita, ganjarannya akan diperoleh setelah meninggal dunia.
Rasulullah SAW di dalam sabda yang bermaksud: “Ada tujuh amalan yang
terus memberi pahala bagi seseorang hamba di dalam kubur iaitu orang
yang mengajar ilmu, orang yang mengalirkan sungai, orang yang menggali
perigi, orang yang menanam pokok yang berbuah, orang yang membina
masjid, orang yang mewariskan al-Quran atau orang yang mempunyai anak
soleh yang selalu mendoakan ibu bapanya setelah kedua-duanya meninggal
dunia.” (Riwayat al-Bazzar)
No comments:
Post a Comment