Monday 11 November 2013

Tokoh ulama Kedah - Tuan Hussein Kedah





Zaman kegemilangan ulama besar dari Patani dan Banjar telah mewarnai dunia keagamaan Islam di Semenanjung Malaya ketika itu. Kehebatan ulama dari Patani seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani tidak dapat dinafikan. Demikian juga keluarga besar ulama Banjar yang dimulai oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari(gambar 1) (pengarang kitab Sabil al-Muhtadin) dan keturunan beliau.  
  gambar 1  

Salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyatu darah dengan orang Kedah ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari.

 
Tuan Hussin Kedah

Pengenalan dan Sejarah Asal-Usul

Nama lengkap beliau adalah Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.

Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah bermula apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su’ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su’ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas’ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah.

Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’udbin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.

Pendidikan

Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. Datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari, seorang ulama besar yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.

Pelajaran dilanjutkan di Patani, di Pondok Bendang Daya dan sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba.

Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga pernah belajar di Pondok Semela. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba.

Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu.

Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar.

Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Allahyarham juga sempat belajar dengan ulama nusantara di sana seperti Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga, Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Syeikh Omar Sembawa.

Sewaktu di Mekah Tuan Husein Kedah al-Banjari bersahabat dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang, Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di sana. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah.

Liku-liku Penghidupan Tuan Hussein

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah disamping menyusun semula pondok peninggalan datuknya itu. Pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beliau mengajar di situ selama 3 tahun.

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di Pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan “Tuan Hussain Bohor”. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulah paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok.

Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (Pondok itu lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya kerana telah dibangunkan semula oeh Tuan Guru Yahaya Joned)

Tuan Hussein pernah menolak jawatan mufti yang ditawarkan oleh Sultan Kedah sebaik sahaja beliau pulang dari Mekah sekitar tahun 1318H. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein ditawarkan pula jawatan Syeikhul Islam yang merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran agama di negeri Kedah tetapi sekali lagi beliau menolak. Jawatan itu akhirnya disandang oleh Haji Wan Sulaiman. Selain khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi.

Ketokohan Tuan Hussein ialah beliau tidak bertolak ansur berhubung soal hukum agama walaupun sesuatu kebenaran hukum yang dipertahankan menyebabkannya terpaksa bertelingkah dengan pihak berkuasa.

Antara peristiwa yang membuktikan ketegasan Tuan Hussein ialah apabila diperintahkan keluar dari Kedah pada 1921 selepas dituduh oleh pemerintah melanggar Akta Tauliah Mengajar dan Cetak Kitab kerana mengarang sebuah kitab.

Tindakan itu sebenarnya adalah rentetan rasa tidak puas hati Syeikhul Islam Kedah ketika itu terhadap tentangan Tuan Hussein terhadap fatwa Syeikhul Islam yang mengharuskan kutipan faedah dalam urusan pinjam-meminjam wang sebelum itu.

Akibatnya, Tuan Hussein berhijrah ke Pokok Sena, Seberang Perai dan menubuhkan pondok pengajian di sana ( tahun 1934) dan masih kekal sehingga kini dengan nama Madrasah Khairiah Al-Islamiyyah.

Madrasah yang kini masih hidup subur, sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad. Allahyarham Haji Ahmad pernah berkata, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya.

Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Beliau bertariqat Syattariah. Satu hal menarik, beliau sering berpindah dalam usaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Beliau menubuhkan pusat-pusat pengajian (Pondok) di mana sahaja beliau tinggal. Beliau gemar membawa tongkat ketika berjalan.

Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya.

Ketekunannya mengajar dan menulis membuatnya sangat dikasihi oleh umat Islam di mana saja beliau menjejakkan kakinya. Selain itu beliau telah mewakafkan tanah miliknya di beberapa tempat beliau membina pondok pengajian, masjid, perkuburan Muslim dan lain-lain.

Antara penuntut Allahyarham

Penuntut beliau melangkaui dari Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand (Pattani). Jumlah penuntut beliau sangat ramai antara yang terkenal ialah Allahyarham Lebai Zakaria Pahang, Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bangkalis), Che Nik dan Wan Din (Pattani), Allahyarham Che Ismail Hamzah (Bekas Mufti Perak) , Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Merbok (Kedah), Tuan Guru Yahya Joned (Kedah) dan anak beliau sendiri Allahyarhan Tuan Guru Haji Ahmad Hj. Hussin yang pernah menjawat jawatan Qadhi Besar Pulau Pinang.


Penulisan Kitab

Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah. Kitab-kitab karangan beliau adalah:

1. An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.

2. Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

3. Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330 Hijrah. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.

4. Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356 Hijrah/April 1937 Masihi. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

5. Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.

6. Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377 Hijrah/1957 Masihi.

7. Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382 Hijrah/1962 Masihi.

8. Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350 Hijrah. Dicatatkan, ``Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30''.

9. Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

10. `Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.

11. Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355 Hijrah (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jamadilawal 1393 Hijrah.

12. Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.

13. Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

14. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, diselesaikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350 Hijrah. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360 Hijrah. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

15. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jamadilakhir 1352 Hijrah (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jamadilakhir 1360 Hijrah.

16. Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.

17. Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.

18. Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.

19. Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''

20. Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe- merintahan.


Meninggalnya tokoh agama Kedah

Menurut catatan dari keluarganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Pada mulanya beliau enggan dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah.

Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang. Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa di utara Semenanjung Melayu. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini. al-Fatihah.


Makam Tuan Hussin Kedah



Kisah pengembaran Tuan Hussein Kedah

....sambungan


Tuan Hussein selalu berpesan agar setiap pekerjaan dilakukan dengan bersungguh2, dengan usaha sendiri dan hasil pendapatan itu akan lebih berkat.


Pengembaraan Tuan Hussein ke Kelantan

Selepas beliau menamatkan pengajian di Fathani Tuan Hussein mengembara ke Kelantan. Di sana beliau tinggal beberapa ketika meneruskan pengajiannya di sekolah2 pondok yang termasyur ketika itu. Tidak dinyatakan nama2 pondok itu.

Pengembaraan ke Terengganu

Dalam tahun 1882M / 1300H Tuan Hussein menumpang tongkang dari Kelantan untuk ke Terengganu. Di sana beliau tinggal menumpang di rumah saudara sepupunya membuat kerja2 kampung mencari perbelanjaan untuk meneruskan pelajarannya. Ketika itu beliau berusia 20 tahun. Beliau tinggal di Terengganu lebih kurang 1 tahun sebelum menumpang tongkang ke Singapura.

Pengembaraan di Singapura

Semasa di Singapura beliau bekerja sebagai buruh kasar dan tidak sempat belajar.

Pengembaraan di Johor dan Melaka.

Pada tahun 1886 Tuan Hussein ke Johor sebelum meneruskan pelajarannya ke Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka ketika sampai di Muar tidak ada sampan untuk menyeberangi Sungai Muar. Beliau terpaksa berenang untuk menyeberangi sungai tersebut. Berenang adalah perkara biasa baginya kerana semasa tinggal di kampongnya Titi Gajah rumahnya berhampiran dengan sungai. Di Melaka beliau bekerja kampung seperti menyemai anak2 padi,menyemat nipah untuk dibuat atap dan rokok daun.

Adapun pengembaraan yang dibuat oleh Tuan Hussein dari satu negeri ke satu negeri adalah didorong oleh cita2 menambah ilmu pengetahuan dan keinginannya berguru kepada ulama2 terkenal masa itu. Oleh kerana keinginanya tidak kesampaian dari Melaka beliau menumpang tongkang ke Medan dan terus ke Batubara. Beliau belajar di sana beberapa bulan sahaja dan kembali ke Melaka. Dari Melaka beliau berjalan kaki ke Selangor hingga sampai ke Perak.

Perdebatan Ilmiah semasa di Perak

Semasa di Perak Tuan Hussein tinggal di Sungai Rebana dan mengambil upah menyemat atap. Dia dikenali di situ sebagai Lebai Hussein. Dia kemudian berpindah ke Sungai Durian setelah mendapat jemputan dari Tuan Haji Muhammad Hasan seorang ulama di Hilir Perak. Diambilnya Tuan Hussein sebagai anak angkatnya. Di situ beliau ditugaskan mengajar kanak2 mengaji Quran.

Ketokohannya sebagai ulama muda tersebar apabila berlaku satu peristiwa perdebatan ilmiah di antaranya dengan Tuan Haji Muhammad Yunus seorang alim berasal dari Permatang Sintok, Seberang Perai. Majlis perdebatan itu diadakan bagi menyelesaikan pertelingkahan Tuan Haji Muhammad Yunus dengan beberapa ulama lainnya termasuk Tuan Hussein yang berpunca dari perselisihan pendapat berhubung satu masalah tauhid.

Tuan Husein berjaya menunduk dan mematahkan hujah lawannya yang pada mulanya memperkecilkannya sebagai seorang muda. Dia memaksa pencabarnya kembali ke pangkal jalan dan mengakui kebenaran hujah2nya. Mulai dari saat itu Tuan Hussein mulai dikenali sebagai seorang alim yang mempunyai pengetahuan yang luas serta sukar ditandingi.

Berkahwin

Selepas peristiwa perdebatan itu Tuan Hussein tinggal di Sungai Durian mengajar pelajaran agama dan mengaji Quran kepada penduduk di situ. Semasa itu dia masih lagi bujang. Berita kepakarannya dalam ilmu agama sampai ke pengetahuan Penghulu Wahab, seorang penghulu di Pasir Panjang, Setiawan, yang ingin bermenantukan Tuan Hussein. Justeru itu Penghulu Wahab menugaskan adiknya Haji Arshad menjemput Tuan Hussein ke Pasir Panjang untuk diuji kebolehannya. Haji Arshad dan seorang lagi rakan bernama Elias disuruh menyoal Tuan Hussein berkaitan perkara2 fekah dan beliau berjaya menjawab kesemua soalan yang diajukan dan memuaskan hati mereka.

Setelah Penghulu Wahab berpuashati lalu ditawarkan Tuan Hussein menjadi menantunya untuk dijodohkan dengan anak perempuannya bernama Zaharah melalui Haji Arshad. Tuan Hussein menyerahkan kepada ayah angkatnya Tuan Haji Muhammad Hasan untuk membuat keputusan. Ayah angkatnya bersetuju Tuan Hussein berkahwin dengan Zaharah binti Abdul Wahab.

Tuan Hussein bercita2 tinggal di Perak tapi atas desakan datuknya supaya pulang ke Kedah dan mengajar di Titi Gajah menyebabkannya kembali ke Kedah. Beliau bersama isterinya kembali ke Titi Gajah dan menetap di pondok datuknya sehingga isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang kedua. Anak2nya dengan Zaharah semuanya meninggal dunia.

Tuan Hussein berkahwin kali keduanya dengan Khadijah binti Wan Jusoh yang merupakan bonda Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein. (lihat sejarah TG Haji Ahmad yang sudah dipostkan sebelum ini).

Menubuhkan pusat pengajian - sistem pondok

Tuan Hussein menumpukan sepenuh masanya mendidik dan membimbing anak bangsanya ke jalan yang diredhai Allah, menegakkan syiar Islam dan menaburkan kalimah tauhid dengan penuh tekun dan ikhlas. Beliau tidak tinggal tetap di satu2 tempat seperti kebanyakan ulama sezaman dengannya.

Semenjak tahun 1887 hingga 1935M beliau berpindah sebanyak 6 kali bermula dari Titi Gajah ke Alor Ganu pada tahun 1887M. Tiga tahun kemudian 1890M beliau ke Bohol. Di sana paling lama iaitu hampir tiga belas tahun sebelum berpindah ke Bagan Ulu pada tahun 1912M. Setelah tujuh tahun mengajar di Bagan Ulu beliau berpindah ke Selingkoh, Sungai Limau, Yan. Beliau berpindah pula ke Batu 16, Padang Lumat pada tahun 1924H. Akhir sekali beliau berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai pada tahun 1929M.

Jadi, di mana sahaja beliau tinggal Tuan Hussein akan mendirikan pusat pengajian yang menjadi pusat tumpuan pelajar2 dari merata tempat sampai dari Indonesia dan Fathani. Tidak ada rekod bilangan murid dan pondoknya tapi secara kasarnya di Bohol ada 600 orang, Bagan Ulu ada 400 orang, dan bilangan pondok di Selingkoh 50 buah, Padang Lumat 40 buah dan di Pokok Sena ada 100 buah pondok.

Antara penuntut Tuan Hussein yang terkenal:

1 Allahyarham Lebai Zakaria Pahang
2 Allahyarham Tuan Omar (adik Lebai Zakaria Pahang)
3 Allahyarham Lebai Wahab (Perak)
4 Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bengkalis)
5 Allahyarham Haji Turidi (Bagan Datok)
6 Allahyarham Haji Wan Nik
7 Chik Nik dan Wan Din (Fathani)
8 Allahyarham Syeikh Ismail Hamzah (Bekas mufti Perak)
9 Allahyarham Nikmatullah Haji Ahmad Tuan Hussein (anaknya)
10 Allahyarham tuan haji Abdullah Zawawi bin Haji Wan Muhammad (Bekas Qadhi Perak)
11 TG Haji Abdul Rahman Merbok
12 Tuan Haji Ghazali bin Haji Arshad ( Mudir Madrasah Arshadiah Bagan datok Perak) dan ramai lagi.

Tuan Hussein Kedah merupakan tokoh ulama Kedah yang menghasilkan paling banyak kitab.
Kitab2nya berkisar permasalahan ilmu tauhid, fekah dan tasawwuf yang ditulis dalam bahasa jawi kecuali dua buah lagi dalam tulisan arab.

Beliau mementingkan kekuatan ekonomi bangsanya. Dalam kitabnya disentuh agar bangsanya berniaga dalam lapangan pertanian dengan mengambil contoh Negara Siam dan India. Padi adalah makanan asasi penduduk di sini dan disarankan penduduk agar diusahakn secara besar2an supaya penghasilan bukan setakat menampung keperluan keluarga tapi sumber ekonomi negara.

Saranannya bukan tiori semata2 tapi dipraktikkanya sendiri dengan berusaha gigih mencari harta untuk memperbaiki ekonominya dari masa ke semasa. Beliau berjaya memiliki beratus2 relong tanah sawah, getah dan kelapa. Sebahagiannya diwakafkan untuk tapak masjid dan perkuburan di Titi Gajah, tapak sekolah agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan di Batu 16, Padang Lumat, Gurun, Kedah. Semasa Tuan Hussein meninggal beliau memiliki lebih kurang 150 relong tanah sebagai peninggalan pusaka untuk anak2nya.

Matinya soeorang tokoh ulama Kedah.

Di dalam buku 7 Wali tulisan saudara Abdul Ghani Said Tuan Hussein diiktiraf sebagai salah seorang Wali Melayu. Lain-lain tokoh yang disebut oleh pengarang 7 Wali itu adalah Habib Nuh, Tukku Paloh, Tuan Tulis, Syeikh Said Al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi dan Tuk Kenali. Tuan Hussein berada diurutan terakhir selepas Tok Kenali.

Tuan Hussein jatuh sakit semasa berada di Pokok Sena, Seberang Perai. Tengku Abdullah juga sebagai murid yang selalu menziarahi beliau, menjemputnya supaya kembali ke Kedah. Pada mulanya Tuan Hussein menolak tapi selepas dirayu oleh anaknya Siti Maryam akhirnya beliau bersetuju. Tengku Abdullah membawa Tuan Hussein ke Batu 16, Padang Lumat pada tanggal 13 ZulKaedah 1354H/1935M dan selepas empat hari di situ Tuan Hussein meninggal dunia. Tarikhnya adalah pada 17 ZulKaedah 1354H/1935M.

Jenazahnya dikebumikan di tanah wakafnya sendiri di Titi Gajah setelah rayuan anak dan kaum keluarganya diperkenankan oleh Tengku Mahmud (ayahanda Tengku Andullah) yang pada mulanya mahu supaya Tuan Hussein dikuburkan di Makam DiRaja Langgar.

Usianya ketika itu ialah 74 tahun mengikut takwim hijrah dan 72 tahun mengikut kiraan tahun masihi.


sumber :  http://anwarwajidi.blogspot.com/2009/05/tokoh-ulama-kedah-tuan-hussein-kedah.html


No comments:

Post a Comment