Friday, 8 November 2013

Keistimewaan Madinah Al-Munawarah..



YANG PASTINYA RAMAI TAK TAHU
KEISTIMEWAAN MADINAH AL-MUNAWARAH

KELEBIHAN 1:-
KELEBIHAN MADINAH

"Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Mekah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Ibrahim mengharamkan Mekah dan aku berdoa untuk (keberkatan) cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim as berdoa untuk Mekah." 
Menurut riwayat yang lain : "Ya Allah, jadikanlah berkat Madinah dua kali ganda daripada berkat yang Engkau jadikan bagi Mekah." (Hadis Bukhari No.2129,1885. Sahih Muslim No.1360,1369)


================
KELEBIHAN 2:-
MADINAH JUGA BERSTATUS TANAH HARAM

"Madinah adalah tanah haram, letaknya di antara Bukit E'ir dan Bukit Thur, sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) di dalamnya, maka ke atasnya laknat Allah, Malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan baiknya samada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah daripada pada hari kiamat" (Sahih Al-Bukhari No.6755,1870, Sahih Muslim No.1370) 
Hadis Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak. 

================

KELEBIHAN 3:-
KEISTIMEWAAN MENINGGAL DUNIA DI MADINAH

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam hadithnya, seperti berikut: “Dari Ibn `Umar r.a. bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: `Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafa’at bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ.” (HR Al-Tirmizi)
Pernah diriwayatkan bahawa Saiyidina `Umar al-Khattab r.a. pernah berdoa agar baginda meninggal dunia di Madinah, dengan doa seperti yang berikut: “Ya Allah, kurniakanlah aku mati syahid di jalan-Mu dan jadikanlah kematian yang menimpa aku itu semasa aku berada di Kota Rasul-Mu (Kota Madinah).” Dan sebagaimana yang kita tahu, sememangnya doa Saiyidina `Umar r.a. ini dimakbulkan Allah S.W.T di mana beliau meninggal dunia di Madinah.

================

KELEBIHAN 4:-
KOTA YANG DIKAWAL MALAIKAT

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana Malaikat a.s. akan melindungi kedua-dua kota itu. Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di lorong-lorong jalan Madinah banyak malaikat yang mengawalnya untuk mencegah penyakit taun dan Dajjal supaya tidak masuk ke dalamnya.” (HR Bukhari & Muslim)
Dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Bukhari menceritakan bahawa Abu Bakrah bercerita yang Nabi s.a.w. bersabda bahawa Dajjal tidak masuk Madinah kerana pada masa itu terdapat tujuh pintu di Madinah yang mana setiap pintu itu dikawal oleh dua malaikat.
Tentang kawalan taun pula, sebuah hadith daripada Al-Bukhari meriwayatkan bahawa `Abdullah bin `Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bermimpi mengenai Madinah. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud: `Aku melihat seorang perempuan kulit hitam dengan rambut kusut masai keluar dari Madinah dan dia singgah di Mahyaah. Aku mentafsirkannya sebagai taun Madinah yang telah dipindahkan ke Mahyaah iaitu Juhfa’. (HR Bukhari & Muslim)

================

KELEBIHAN 5:-
DEBU TANAH MADINAH MENGUBAT PENYAKIT

Satu-satunya tanah yang Baginda Rasulullah s.a.w. sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah S.W.T. ialah tanah di kawasan Tanah Haram Madinah.“Dari `Aisyah r.a. bahawa Baginda Nabi s.a.w. bersabda kepada orang sakit: `Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah.” (HR Bukhari)
Pernah diceritakan oleh al-Zurqani bahawa sewaktu Baginda Rasulullah s.a.w. menziarahi orang-orang dari Bani Harith yang tinggal berhampiran suatu tempat bernama Syu`ib. Mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa mereka mengidap demam. Lalu Rasulullah s.a.w. mengajarkan mereka supaya mengambil debu tanah kawasan Syu`ib, memasukkannya ke dalam air, kemudian meludah air tanah itu dengan air liur dan membaca doa berikut: “Dengan nama Allah debu tanah yang kita campur dengan air liur kita adalah sebagai penyembuh penyakit dengan izin Allah.”
Imam Nawawi juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membaca doa tersebut sambil membasahkan jarinya dengan air liurnya dan melekatkan debu tanah Madinah. Baginda kemudiannya menyapukan debu itu ke tempat lukanya.


No comments:

Post a Comment